Singa dalam budaya manusia Singa

Singa Georgia dari Colchis

Singa merupakan ikon bagi kemanusiaan selama ribuan tahun, muncul di kebudayaan-kebudayaan seluruh Eropah, Asia dan Afrika. Biarpun ada kalanya menyerang manusia, singa menikmati gambaran positif sebagai kuat dan budiman dalam budaya manusia. Singa sering digambarkan sebagai "raja rimba" atau "raja mergastua"; maka singa merupakan lambang am kerabat diraja dan kebangsawanan,[188] di samping lambang keberanian; singa terdapat dalam cerita-cerita dongeng Aesop si pencerita abad ke-6 SM.[189]

Gambaran singa terdapat seawal zaman Paleolitik Awal. Ukiran gading berkepala singa betin dari gua Vogelherd di Swabian Alb, Jerman barat daya, bergelar Löwenmensch (manusia singa) dalam bahasa Jerman. Arca ini ditentukan berusia tidak kurang 32,000 tahun dari budaya Aurignacia,[190] tetapi mungkin datang dari 40,000 tahun dahulu.[191] Arca ini ditafsirkan sebagai antropomorfik, iaitu haiwan yang diberi sifat manusia, malah mungkin merupakan gambaran dewa. Gambaran dua singa mengawan di "Kamar Rumpun Kucing" (Chamber of Felines) dalam lukisan gua Paleolitik berumur 15,000 tahun di perguaan Lascaux. Singa gua juga terlukis di Gua Chauvet yang ditemui pada 1994; dianggarkan umurnya 32,000 tahun,[192] tetapi mungkin sebaya atau lebih baharu daripada Lascaux.[193]

Ukiran singa pada dinding istana Darius I dari Empayar Parsi (550–330 SM).

Di Afrika terdapat bermacam-macam pandangan budaya mengenai singa mengikut rantau. Bagi sesetengah budaya, singa melambangkan kuasa dan kerabat diraja, malah sesetengah pemerintah berkuasa memakai timangan "singa". Misalnya, Marijata dari Empayar Mali (c. 1235–c. 1600) diberi nama "Singa Mali".[194] Njaay, pengasas legenda kerajaan Waalo (1287–1855), kononnya dibesarkan oleh singa dan kembali kepada rakyat dalam bentuk separa singa untuk menyatukan mereka dengan ilmu yang diperoleh daripada singa. Di sesebahagian Afrika Barat, dibandingkan dengan sina merupakan satu pujian yang mulia sekali. Tatatingkat sosial masyarakat berkenaan bersangkut paut dengan alam haiwan, di mana singa mewakili golongan atasan.[195] Tetapi di kawasan hutan tebal yang jarang kelihatan singa, harimau bintang yang lebih banyak dijadikan kemuncak tatatingkat.[196] Di sesebahagian Afrika Barat dan Timur, singa dikaitkan dengan penyembuhan dan dilihat sebagai penghubung antara dukun dan alam ghaib. Adapun tradisi Afrika Timur lain yang menanggap singa sebagai lambang kemalasan.[195] Dalam banyak cerita dongeng adanya singa yang digambarkan pendek akal dan senang diperalatkan oleh haiwan lain.[194] Biarpun sering digunakan dalam cerita, pepatah dan tarian, singa jarang terdapat dalam seni lukis.[196]

Tamadun Mesir Purba mengagungkan singa betina (si pemburu ganas) sebagai dewi perang. Antara singa yang terdapat dalam kalangan dewata Mesir adalah, Bast, Mafdet, Menhit, Pakhet, Sekhmet, Tefnut, dan Sphinx;[188] Singa merupakan lambang agung di Mesopotamia kuno (dari zaman Sumer hingga Assyria dan Babylonia), di mana ia bersangkut-paut dengan kerajaan.[197] Motif singa Babylon klasik dalam bentuk patung, ukiran mahupun lukisan dinding, sering digelar singa melangkah Babylon. Singa Nemea adalah simbolik di Yunani dan Rom purba, digambarkan sebagai buruj dan rasi Leo, malah dikisahkan dalam mitos yang mana kulitnya dipakai oleh pahlawan Heracles.[198]

Arca singa di Mahabalipuram, Tamil Nadu, India (Tapak Warisan Dunia UNESCO)

Singa merupakan lambang kitabi puak Judah dan akhirnya Kerajaan Judah.[199] Singa seringkali disebut dalam Bible, terutamanya Kitab Danial di mana Danial enggan memuja Raja Darius dan dipaksa tidur di sarang singa tetapi terselamat secara ajaibnya. Dalam Kitab Hakim-Hakim, Samson membunuh seekor singa dalam perjalanan melawat seorang wanita Filistin.(Judg 14). Kuasa dan kegarangan singa ditekankan apabila menggambarkan kemurkaan Tuhan (Amos 3:4–8, Lam 3:10) serta ancaman daripada musuh-musuh Bani Israel (Pss 17:12, Jer 2:30) dan Syaitan (1 Pet 5:8). Kitab Yesaya menggambarkan singa berbaring dengan anak lembu dan anak manusia sambil makan jerami untuk menunjukkan keharmonian ciptaan (Isa 11:6–7). Dalam Kitab Wahyu, singa, lembu, manusia, dan helang bersemayam di atas singgahsana syurga dalam wawasan Yohanes (Rev 4:7). Gereja Kristian awal menggunakan gambaran ini untuk melambangkan empat injil, yang mana singa melambangkan Injil Markus.[200]

Dalam pustaka Purana agama Hindu, Narasimha ("manusia singa") iaitu jelmaan (betara) Wisnu separa singa separa manusia dipuja oleh menyembah serta menyelamatkan penyembah anak Prahlada daripada bapanya si raja durjana Hiranyakashipu;[201] Narasimha berbadan manusia tetapi berwajah dan bercakar singa.[202] Nama "Singha" diguna pakai di India selama 2,000 tahun, pada mulanya hanya oleh kaum Rajput, sebuah warna (kasta) kesatria di India. Setelah lahirnya persaudaraan Khalsa pada 1699, penganut Sikh turut memakai nama "Singh" atas wasiat Guru Gobind Singh. Di samping jutaan Rajput Hindu masa kini, lebih 20 juta orang Sikh sedunia memakai nama Singh.[203] Ternyata kelihatan di bendera-bendera dan jata-jata sekitar Asia dan Eropah, singa Asia turut berdiri tegak pada Lambang Kebangsaan India.[204] Jauh di selatan Asia Selatan, singa Asia menjadi lambang Sinhala,[205] majoriti etnik Sri Lanka; namanya datang dari bahasa Indo-Arya iaitu Sinhala yang bermaksud "keturunan singa", sementara singa yang mengangkat pedang menjadi ciri utama bendera Sri Lanka.[206]

Singa pelindung Cina di luar Tokong Yonghe, BeijingButiran singa Karamon di tokong Nishi Hongan-ji in Kyoto, Jepun; dari zaman Momoyama

Singa Asia merupakan motif umum dalam seni Cina Singa mula-mula disenikan pada Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh (abad ke-6 hingga ke-5 SM), malah semakin laris pada Dinasti Han (206 SM – 220 M) apabila patung singa pelindung mula dipasang di hadapan istana maharaja untuk perlindungan. Oleh sebab singa asing bagi negara Cina, gambaran rupa awalnya agak menyimpang dari yang sebenar; setelah kemasukan seni Buddha ke China pada zaman Dinasti Tang (selepas abad ke-6 M), singa selalunya tidak bersayap, pendek dan gempal tubuhnya, malah surainya keriting.[207] Tarian singa merupakan tarian tradisional Cina yang mana penari meniru gerak-geri singa sambil memakai kostum singa diiringi paluan simbal, gendang dan gong untuk mencari tuah pada hari-hari kebesaran.[208]

Negara pulau Singapura mendapat namanya daripada "singa" dan "pura" (kota) dalam bahasa Melayu yang didatangkan dari bahasa Tamil atau Sanskrit.[209] Menurut Sejarah Melayu, nama ini diberikan oleh putera Melayu Sumatera abad ke-14 yang bernama Sang Nila Utama, yang menemui seekor makhluk bertuah seakan singa setelah mendarat di pulau ini daripada ribut petir.[210]

Gambaran dewi Durga menunggang singaPatung singa di halaman Muzium Arkeologi Palmyra, Syria (diambil pada 2010).

"Singa" merupakan timangan beberapa pahlawan Eropah terkenal zaman Pertengahan, misalnya Raja Inggeris Richard the Lionheart,[188] Duke Saxony Heinrich sang Singa, (Jerman: Heinrich der Löwe), Raja Scotland William sang Singa, dan Raja Flanders Robert III yang bergelar "Singa Flanders"—sebuah lambang kebangsaan bangsa Flanders hingga kini. Singa sering digambarkan pada jata sama ada sebagai peranti pada perisai ataupun penyangga.[211] Singa juga dijadikan lambang pasukan sukan, baik pasukan bola sepak kebangsaan seperti England, Scotland dan Singapura mahupun kelab-kelab terkemuka seperti Perlis FA (Singa Utara) dalam Liga Premier, Chelsea FC[212] dan Aston Villa FC dalam Liga Perdana Inggeris,[213] (bahkan Liga itu sendiri), dan sebagainya.

Singa masih tampil dalam kesusasteraan moden, baik Aslan yang bak dewa dalam The Lion, the Witch and the Wardrobe dan judul-judul berikutnya dari siri The Chronicles of Narnia karya C. S. Lewis,[214] mahupun Sang Singa Pengecut yang lucu dalam The Wonderful Wizard of Oz.[215] Penciptaan filem wayang gambar melanjutkan keunggulan lambang singa; antara singa yang terkemuka sekali ialah Leo the Lion iaitu maskot studio Metro-Goldwyn-Mayer (MGM) sejak 1920-an.[216] 1960-an menyaksikan kebangkitan singa betina paling masyhur iaitu Elsa dari Kenya dalam filem Born Free.[217] Peranan singa sebagai raja segala satwa digunakan dalam kartun seperti filem animasi Disney The Lion King.[218]

Rujukan

WikiPedia: Singa http://www.adelaide.edu.au/acad/publications/paper... http://archive.gg.ca/heraldry/pub-reg/project-pic.... http://abc.museucienciesjournals.cat/files/ABC_38-... http://www.bartleby.com/61/46/S0424600.html http://www.beringia.com/research/lion.html http://books.google.com/books?id=t2EZCScFXloC&pg=P... http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA5... http://www.indialivetoday.com/gir-forest-asiatic-l... http://timesofindia.indiatimes.com/city/ahmedabad/... http://news.nationalgeographic.com/2016/04/160418-...